Pematuhan SOP: Kuching, Padawan dibahagikan kepada 15 zon - Polis Sarawak
Astro Awani
Februari 22, 2021 19:06 MYT
Februari 22, 2021 19:06 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memperkasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di Kuching dan Padawan dengan mengagihkan kawasan pemantauan kepada 15 zon.
Pemilihan Kuching dan Padawan itu adalah sebagai lokasi permulaan proses pemerkasaan pematuhan SOP berkenaan.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, 15 zon itu meliputi 15 balai polis di dua daerah tersebut dan Ketua Balai Polis akan bertindak sebagai penyelaras pasukan pematuhan.
"Objektif pasukan ini adalah untuk menguatkuasakan SOP sedia ada, meningkatkan tahap pematuhan masyarakat serta memaksimumkan kehadiran anggota penguat kuasa di tempat tumpuan ramai," katanya pada sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Isnin.
Tambah Aidi, pihaknya turut memperincikan kaedah pelaksanaan iaitu dengan membuat rondaan berjalan kaki, Op Payung, menggunakan pembesar suara MPV di kawasan tumpuan orang ramai dengan menasihatkan supaya mematuhi SOP serta memasang siren menandakan kehadiran polis.
Katanya, dari segi masa penugasan pula, pemantauan akan bermula 6 pagi hingga 11 malam dan dibahagikan kepada tiga.
"Pertama, 6 hingga 10 pagi di kawasan pasar tani dan basah; 10 pagi hingga 5 petang di pusat beli-belah, pasaraya dan tempat makan; manakala 7 hingga 10 malam di kawasan tebingan, bistro, tempat makan dan lain-lain," katanya.
Tambah Aidi, jumlah keseluruhan anggota pasukan pemantauan ialah 990 yang dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, penempatan pasukan adalah bergantung kepada keluasan, kepadatan penduduk dan lokasi tumpuan orang ramai.
#Pemantauan SOP
#Kuching
#Padawan
#SOP COVID-19
#JPBN Sarawak
#Polis Kontinjen Sarawak
#Datuk Aidi Ismail