Pematuhan SOP kempen PRK DUN Slim kekal
Hasimi Muhamad
Ogos 15, 2020 12:48 MYT
Ogos 15, 2020 12:48 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah kekal, setakat ini.
Timbalan Pengerusinya, Dr Azmin Sharom berkata, syarat tersebut termasuk lokasi berkempen mestilah tertutup ataupun berpagar, kehadiran tidak melebihi 250 orang dan menyediakan pencair pembasmi kuman.
Bagaimanapun, jelas beliau, SOP tersebut boleh berubah mengikut keadaan semasa dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.
“Setakat ini SOP berkempen adalah sama seperti kita maklum (sebelum ini).
“Maksudnya, kalau ada ceramah boleh tetapi maksimum adalah 250 orang, penjara sosial, mesti kawasan tertutup atau berpagar supaya boleh kawal masuk siapa yang datang.
“Begitu juga dengan lawatan rumah ke rumah, tidak dibenarkan salam dan sebagainya.
“Dalam situasi COVID-19 ini, seperti mana kita sebut, kita mungkin perlu buat perubahan (SOP),” katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjong, di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Azmi berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan pelanggaran SOP sepanjang proses penamaan calon, hari ini.
Ujarnya, semua pihak mematuhi arahan yang ditetapkan oleh SPR dan pihak berkuasa, termasuk tiada perarakan daripada mana-mana kumpulan penyokong.
“Setahu saya tiada (aduan pelanggaran SOP). Semua orang berperangai baik, jadi tiada masalah pun.
“Pihak media (juga) semua pakai pelitup muka,” katanya.
Selain itu, Azmi turut memaklumkan SPR menyasarkan 70 peratus keluar mengundi pada hari pengundian.
Katanya, keputusan PRK dijangka diumum sebelum 10 malam pada 29 Ogos.
Pada PRK kali ini, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan. Sementara calon Bebas adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, 42.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.
#Azmin Ali
#Barisan Nasional
#calon
#koronavirus
#Mahathir Mohamad
#pandemik
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#Slim Memilih
#SOP
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#UMNO