Pematuhan rakyat seruan 'duduk di rumah' dijangka lebih baik hari ini

Bernama
Mac 22, 2020 08:42 MYT
Keadaan sekitar Bandaraya Alor Setar kelihatan lengang pada hari keempat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh negara hari ini. --fotoBERNAMA
Jika hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menyaksikan tahap pematuhan perintah tersebut tersangatlah rendah, namun memasuki hari kelima hari ini orang ramai dijangka lebih memahami tuntutan mengehadkan pergerakan masing-masing.
Apa tidaknya, bermula 12.01 tengah malam tadi, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu pihak polis memantau pematuhan perintah tersebut bagi memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dan tidak 'merayap' tanpa urusan penting demi kebaikan diri sendiri dan keluarga.
Bagi pihak kerajaan, tujuan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan ini tidak lain untuk menghentikan atau memutuskan sama sekali rangkaian jangkitan COVID-19 dari berpanjangan atau menjadi semakin serius untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada virus maut ini.
Kalau inilah tujuannya, sepatutnya tidak ada lagi alasan untuk meremehkan atau tidak mempedulikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Kerajaan hanya punya satu permintaan untuk dipenuhi rakyat iaitu, "duduk di rumah".
Bagaimanapun semalam, keadaan ibu kota Kuala Lumpur dan juga di bandar-bandar lain dilihat lebih lengang berbanding hari-hari sebelumnya, menandakan rakyat mungkin mula mengambil serius arahan itu, dan diharapkan pematuhan tersebut terus bertambah baik pada hari ini dan hari-hari seterusnya.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa sepanjang tempoh perintah tersebut berjalan, hanya seorang sahaja wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan ubat-ubatan.
Makanya, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail terhadap rakyat Perlis agar mematuhi perintah kawalan itu tanpa sebarang alasan serta mengambil sikap bertanggungjawab dan 'Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan' dan semestinya pesanan ini diambil berat oleh semua rakyat di negara ini.
Pihak berkuasa di beberapa negeri pula telah mula mengetatkan penguatkuasaan, dengan hanya memberi kebenaran beroperasi kepada peruncit dan premis perniagaan tertentu, antaranya kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam, yang boleh beroperasi sehingga waktu-waktu tertentu mengikut negeri masing-masing.
Kelantan, Terengganu dan Pahang menjadi negeri terawal menguatkuasakan arahan, dengan membenarkan operasi premis masing-masing bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam atau 7 pagi hingga 6 petang sahaja, yang menyaksikan rata-rata peniaga dan pengusaha akur dan menutup premis tepat pada masa yang ditetapkan.
Arahan yang sama juga diikuti negeri-negeri lain untuk dikuatkuasakan hari ini, seperti di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.
Ada juga pihak mengambil inisiatif mengurangkan impak perintah itu terhadap golongan tertentu dalam masyarakat seperti ditunjukkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menyediakan bantuan makanan percuma dua kali sehari kepada semua pelajar yang masih berada di kolej kediaman di kampus dan rumah sewa sehingga 31 Mac ini.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula memperuntukkan agihan khas RM15 juta sebagai bantuan segera memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan bagi membantu golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja berpendapatan rendah yang terjejas sumber pendapatan akibat pelaksanaan perintah tersebut.
Semua ini tidak lain sebagai dukungan dan sokongan terhadap langkah Kerajaan Pusat untuk menjayakan tujuan murni Perintah Kawalan Pergerakan ini - bebaskan rakyat Malaysia daripada wabak COVID -19.
-- BERNAMA
#COVID-19 #duduk di rumah #jangkitan #kekal tenang #Ketua Keluarga #Kuala Lumpur #lengang #pemantauan #pematuhan #perintah kawalan pergerakan #tentera #virus
;