Pematuhan Akta 446 penting untuk lindungi hak asasi pekerja - Fadillah

Bernama
Mac 11, 2021 05:38 MYT
Fadillah berkata pematuhan terhadap akta berkenaan juga amat penting dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) amat penting dalam memastikan hak asasi pekerja sentiasa dilindungi, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah dalam kenyataan semalam berkata pematuhan terhadap akta berkenaan juga amat penting dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.
"Pematuhan Akta 446 juga selaras dengan keperluan antarabangsa dalam menghormati hak asasi pekerja," katanya susulan sesi libat urus anjuran Kementerian Kerja Raya dengan penggiat industri pembinaan, pada Khamis.
Sesi itu dihadiri lebih 50 wakil kementerian, agensi dan peneraju industri pembinaan.
Fadillah berkata kerjasama erat di antara agensi penguatkuasaan dan peneraju industri pembinaan adalah amat kritikal dalam menyelesaikan isu penempatan pekerja di tapak pembinaan.
"Sesi libat urus ini dilihat telah berjaya mendapatkan komitmen daripada agensi terlibat iaitu Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam mempercepatkan proses kelulusan pembinaan tempat penginapan pekerja," katanya.
-- BERNAMA
#Fadillah Yusof #kerajaan #menteri #COVID-19 #Akta 446 #Menteri Kanan Kerja Raya
;