Pemasangan sistem penuaian air hujan wajar disokong kerajaan
Astro Awani
April 12, 2014 11:00 MYT
April 12, 2014 11:00 MYT
Pemasangan sistem penuaian air hujan wajar disokong dengan pemberian insentif daripada pihak kerajaan bagi mengimbangi kos pemasangan.
Menurut pengerusi Institut Perancang Malaysia Md Nazri Mohd Noordin, kos menjadi kegusaran utama pemasangan sistem tersebut yang lazimnya menelan belanja tinggi.
Tambahnya, penting untuk rumah di Malaysia mempunyai sistem penuaian air hujan memandangkan Malaysia mempunyai iklim tropika dan kadar hujan yang tinggi.
“Ia membantu, bila kita duduk dirumah apabila hujan, ia terus masuk ke tanah atau longkang.
Kita boleh tadah dan gunakan untuk kegunaan harian dan kita boleh jimat mungkin 30 peratus penggunaan air dari bekalan dan kita perlu wujudkan sistem penuaian air hujan secara serius,” katanya.
Pemasangan menurut Nazri boleh dilakukan oleh pemaju hartanah bagi projek baru dan pemilik boleh memasang sendiri bagi kediaman sedia ada.
Satu bentuk insentif bersesuaian pula perlu dirangka bagi memastikan kos tidak menjadi penghalang.
“Ia adalah satu perkara yang hanya sekali, jadi mungkin kerajaan boleh beri insentif sekali kepada pemaju bagi setiap unit yang dibina sistem penuaian ini.
Mungkin pengecualian cukai. Contoh satu unit kos adalah RM3000, mungkin kerajaan boleh sediakan pengecualian cukai korporat,” cadang Nazri.
Nazri berkata insentif adalah penting bagi memastikan kos tidak akan disalurkan kepada pengguna sekiranya pemaju memasang sistem penuaian air hujan.
Tambahnya kos yang tinggi adalah disebabkan pemasangan tangki dan juga sistem paip baru bagi saliran air tersebut.
Malaysia pernah beberapa kali menghadapi situasi kemarau.
Pada 1998, fenomena El Nino menyaksikan catuan air hebat terpaksa dilakukan.
Buat masa ini, paras air di empangan utama susut teruk sehingga memaksa catuan air diteruskan.
Lebih membimbangkan apabila pihak berkuasa meramalkan air empangan utama hanya mampu bertahan untuk tiga bulan sekiranya paras air di empangan Sungai Selangor tidak mencapai 55 peratus.