Pemasangan pendakap gigi oleh pengamal pergigian haram berisiko

Bernama
Oktober 9, 2022 12:40 MYT
Kebanyakan kes pemasangan pendakap gigi palsu dilakukan di premis tidak berdaftar seperti di rumah. - Gambar hiasan
JEMPOL: Orang ramai terutamanya golongan muda dinasihatkan tidak tertipu dengan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi oleh pengamal pergigian tidak berdaftar hanya kerana terpengaruh dengan fesyen, serta dakwaan ia lebih cepat dan mudah.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Amalan dan Perkembangan Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Rosnah Atan berkata ini kerana mereka yang berbuat demikian menghadapi risiko kehilangan gigi secara kekal.
"Biasanya, doktor gigi palsu ini akan mendakwa bahawa pendakap gigi yang mereka pasang lebih cepat dan mudah melekat pada permukaan gigi, sebab itu orang senang terpedaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai tetamu dalam Program Bual Bicara Doktor Gigi Palsu dan Pendakap Gigi Palsu yang dianjurkan Kementerian Kesihatan (KKM) sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan di Dataran Seri Jempol di sini hari ini.
Menurut Rosnah kebanyakan kes pemasangan pendakap gigi palsu dilakukan di premis tidak berdaftar seperti di rumah.
Sementara itu, Pakar Ortodontik Klinik Pergigian Tampin Dr Cheok Chieh How berkata orang ramai seharusnya membuat pemasangan pendakap gigi di klinik pergigian yang berdaftar sahaja.
Katanya peralatan yang digunakan untuk memasang pendakap gigi palsu oleh pengamal pergigian haram biasanya tidak dinyahkuman dan membawa kepada masalah kesihatan gigi yang lebih buruk.
"(Kalau ikut cara yang betul) doktor pergigian perlu membuat diagnosis secara menyeluruh sebelum membuat pemasangan pendakap gigi yang bersesuaian," katanya.
-- BERNAMA
#pendakap gigi #pengamal pergigian #pengaruh fesyen #golongan muda