Pemasangan papan tanda mudahkan masyarakat kenali Jambatan Victoria

Bernama
Ogos 14, 2022 17:30 MYT
Shahrom Ahmad berkata pemasangan papan tanda itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta penduduk Kampung Seberang Karai. - Facebook Shahrom Ahmad
KUALA KANGSAR: Pemasangan papan tanda kedua di Jambatan Victoria di sini, adalah inisiatif bagi memudahkan masyarakat mendapat maklumat khusus berkaitan tapak sejarah berkenaan.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya Shahrom Ahmad berkata pemasangan papan tanda itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta penduduk Kampung Seberang Karai.
"Papan tanda ini berfungsi membantu pengunjung dan masyarakat tempatan dari arah Kampung Seberang Karai untuk melihat sendiri kesan dan tapak sejarah Jambatan Victoria semasa Perang Dunia Kedua dan zaman darurat," katanya selepas program pemasangan papan tanda tersebut sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Beliau berkata pihaknya juga melawat sudut klasik yang dibina penduduk Kampung Seberang Karai di bawah jambatan berkenaan bertujuan menarik kedatangan pengunjung.
Jambatan Victoria atau dikenali sebagai Jambatan Enggor dibina sekitar tahun 1897 dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Perak ke-28 Sultan Idris Shah pada 1900.
Jambatan tersebut merupakan antara lokasi laluan kereta api yang menjadi penghubung kawasan utara dengan selatan Semenanjung Tanah Melayu pada waktu itu.
-- BERNAMA
#Jambatan Victoria #sejarah #papan tanda #shahrom ahmad #perang dunia
;