Pemasangan kawat berduri di tangga PPR Kg. Baru Air Panas dipersetujui bomba
Bernama
Julai 3, 2021 22:16 MYT
Julai 3, 2021 22:16 MYT
KUALA LUMPUR: Pemasangan kawat berduri di laluan tangga Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini, dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang turut dihadiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk bagi tujuan keluar masuk dari bangunan itu sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Menurutnya, selain itu pihak polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
"Terdapat kekeliruan yang timbul apabila gambar kawat duri di laluan tangga tersebut tular disebarkan kerana penduduk berasa bimbang sekiranya berlaku kecemasan.
"Untuk makluman sekiranya berlaku kecemasan, pihak ATM berkemampuan untuk membuka kawat duri tersebut dalam tempoh masa yang singkat dan kami sentiasa berada di laluan tersebut untuk memantau situasi semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial gambar yang menunjukkan beberapa anggota ATM memasang kawat berduri di laluan tangga Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas menyebabkan timbul kebimbangan dalam kalangan netizen tentang keselamatan penduduk jika berlaku kecemasan.
Ashari memaklumkan pemasangan kawat berduri di laluan tangga blok tersebut bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan yang kini berada di bawah PKPD bermula hari ini hingga 16 Julai.
Pada masa sama beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang menimbulkan kegusaran masyarakat.
Menurutnya polis sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.
#PKPD
#kawat berduri
#tangga
#kebakaran
#PPR
#flet
#flat
#pangsapuri
#Kampung Baru Air Panas
#polis
#tentera
#viral
#Tular