Pemasangan CCTV di balai elak polis difitnah 'kaki pukul' banduan
Hasimi Muhamad
September 20, 2019 12:15 MYT
September 20, 2019 12:15 MYT
Keputusan kerajaan untuk memasang kamera litar tutup (CCTV) di lokap balai polis disifatkan mampu mengelakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan tohmahan negatif.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, ia sekali gus menghindari fitnah terhadap polis sekiranya berlaku kematian banduan di dalam lokap balai.
“Anak buah (anggota polis) saya selama ini amat terdedah kepada fitnah.
“Saya tegas menyatakan bahawa kes-kes kematian di dalam lokap banyak berpunca daripada penyakit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hamid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong meninjau keadaan rumah anggota di kuarters PDRM Zon Tengah di PGA Cheras.
Jelasnya, setiap kali kematian melibatkan banduan, anggota polis akan dituduh memukul pesalah.
“Contohnya, (banduan) sudah tahap empat penagihan dadah dan menghidap HIV, mati dalam lokap. Tetapi, tohmahan yang keluar, anak buah saya yang pukul (banduan).
“Jadi, banyaklah (kes lain). Maka, dengan ada CCTV ini saya berasa amat lega, kerana dapat mengelakkan PDRM ditohmah dan dituduh sebagai pesalah kepada kes-kes (kematian banduan),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik hasrat kerajaan untuk memasang kamera badan kepada pegawai dan anggota polis.
“Pengumuman oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat baik kerana pelaksanaan 'body cam' dapat mencegah, pertamanya fitnah.
“Saya yakin anak buah saya akan melaksanakan kerja dengan baik,” ujarnya.
Justeru, katanya, PDRM akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambahbaik pelbagai peralatan lain bagi menjamin kecekapan anggota polis yang bertugas.
#Abdul Hamid Bador
#CCTV
#fitnah
#kamera badan
#kamera litar tutup
#kematian banduan
#lokap
#negatif
#penyakit
#polis
#pukul
#tohmahan