Pemasang jubin rugi RM29,000 terperdaya 'Love Scam'

Bernama
Januari 2, 2024 19:30 MYT
Foong mendakwa telah berkenalan dengan seorang individu melalui Facebook pada 5 Dis lepas sebelum menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUANTAN: Perkenalan singkat dengan seorang wanita menerusi media sosial membawa padah kepada pemasang jubin apabila terjerat dengan sindiket "Love Scam" sehingga wang simpanannya berjumlah RM29,000 lesap.
Berkongsi cerita, mangsa yang ingin dikenali sebagai Foong, 42, mendakwa telah berkenalan dengan seorang individu melalui Facebook pada 5 Dis lepas sebelum menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit.
Dia kemudiannya sering berhubung dengan wanita itu menerusi aplikasi WhatsApp, sebelum suspek mempelawanya menyertai perniagaan dalam satu aplikasi yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Saya perlu membeli barang seperti jam tangan dan barang kemas, kemudian jual untuk mendapatkan komisyen dan sebanyak tiga transaksi berjumlah RM29,000 telah dilakukan ke akaun berbeza antara 13 hingga 18 Dis lepas, namun keuntungan yang dikatakan milik saya tidak dapat dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Chan Chun Kuang dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia Daniel Khoo di sini hari ini.
Foong berkata usaha untuk menghubungi wanita itu juga tidak berhasil selepas panggilan telefon dan mesej tidak lagi dijawab, justeru dia yang berasa ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 24 Dis lepas.
Sementara itu, Khoo menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan kenalan baharu dalam media sosial.
"Pihak kami telah menerima banyak aduan kes penipuan seumpama ini dan minta masyarakat lebih peka serta cakna, jangan layan individu sembarangan di mana-mana platform media sosial," katanya.
-- BERNAMA
#love scam #media sosial #panggilan telefon #pemasang jubin
;