Pemaparan harga ubat bukan bertujuan kawal harga, beri akses maklumat kepada pengguna - Armizan

Astro Awani
Mac 14, 2025 15:30 MYT
Armizan (tengah) bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di Dewan Serbaguna KPDN, di sini pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Pemaparan harga ubat di klinik dan hospital swasta membolehkan masyarakat untuk mendapatkan maklumat sewajarnya bagi membuat pemilihan, sekali gus memenuhi hak seorang pengguna.

Ringkasan AI
  • Mulai 1 Mei, klinik dan hospital swasta akan memaparkan harga ubat untuk memberi rakyat akses maklumat dan membolehkan mereka membuat perbandingan harga serta merancang perbelanjaan.
  • Mekanisme ini selaras dengan hak universal pengguna untuk mendapatkan maklumat dan membuat pilihan, bukan untuk mengawal harga ubat.
  • Mekanisme Ketelusan Harga Ubat telah diluluskan oleh Kabinet dan akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perintah itu bukan untuk mengawal harga, sebaliknya menggalakkan keterbukaan dalam urusan jual beli ubat-ubatan.
Tindakan ini merupakan antara pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang bakal dikuatkuasakan bermula 1 Mei seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ia adalah hak universal pengguna, iaitu hak untuk mendapatkan maklumat dan hak untuk memilih ketika membeli.
"Dengan adanya maklumat harga ubat, pengguna boleh membuat perbandingan, memilih premis kesihatan dan merancangan perbelanjaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di Dewan Serbaguna KPDN, Putrajaya pada Jumaat.
Pemaparan harga ubat ini akan dikuatkuasakan di Bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan (AKHAP) 2011.
Tambah Armizan, pemaparan harga ubat juga boleh membendung kadar inflasi perubatan Malaysia yang tinggi iaitu pada angka 15 peratus.
"Statistik ini adalah lebih tinggi berbanding kadar purata 10 peratus bagi Asia Pasifik dan purata 11 peratus untuk global," ujarnya.
#pemaparan harga ubat #Armizan Mohd Ali #kos ubat-ubatan #terkini #hospital swasta
;