Pemantauan semasa tempoh PKPP diperketat - Polis Sarawak
Astro Awani
Oktober 10, 2020 19:35 MYT
Oktober 10, 2020 19:35 MYT
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperhebatkan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sarawak.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M.M Sree, langkah ini diambil susulan peningkatkan kes positif COVID-19 yang amat membimbangkan di negeri itu.
Katanya, walaupun kadar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negeri itu adalah tinggi tetapi masih terdapat segelintir pihak mengambil ringan SOP COVID-19 terutama di luar bandar.
“Polis ingin memberi amaran tegas kepada orang ramai agar terus mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerana tempoh ini adalah tempoh yang agak penting bagi kita.
“Ini kerana kita masih berusaha sedaya upaya untukmengawal penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, antara kesalahan pelanggaran SOP di sana termasuk pengabaian penggunaan pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal semasa sesuatu majlis keramaian diadakan.
Untuk itu, tiada perhimpunan di luar dibenarkan oleh pihak JPBN Sarawak buat masa ini dan hanya 50 peratus kehadiran dibenarkan sekiranya sesuatu majlis dianjurkan dalam dewan tertutup.
“Kita tidak membenarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan sebarang perhimpunan di luar.
“Tetapi bagi majlis di dalam sesuatu bangunan, pastikan ia hanya dihadiri oleh kapasiti 50 peratus dan amalkan penjarakan fizikal dan juga menggunakan pelitup muka, ini yang paling penting sekali, tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media harian JPBN Sarawak di Kuching pada Sabtu.
#COVID-19
#Sarawak
#Polis Diraja Malaysia
#PKPP
#Datuk Dev Kumar M M Sree
#JPBN Sarawak
#Kuching
#SOP
#pemantauan PKPP
#penguatkuasaan polis