Pemantauan jalan di kawasan perbukitan perlu lebih komprehensif - Ibrahim Komoo
Israr Khalid
Disember 16, 2022 23:58 MYT
Disember 16, 2022 23:58 MYT
Keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo menegaskan bahawa perhatian yang lebih perlu diberikan kepada jalan di kawasan cerun di luar bandar.
Selama ini, kita hanya memberikan tumpuan kepada pemantauan dan penyelenggaraan jalan-jalan utama dan di kawasan bandar hingga kondisi jalan-jalan yang jarang dilalui sebahagian besarnya diabaikan.
Itu yang berlaku di jalan yang runtuh di Batang Kali, Selangor di mana menurut beliau, ahli geologi mengesan sudah wujud tanda-tanda ketidakstabilan dan risiko yang sepatutnya boleh ditangani sebelum terjadinya runtuhan.
“Memang saya difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai bahagian yang bertanggungjawab memantau cerun di seluruh negara, tapi saya tak dapat lihat pemantauan yang serius dan komprehensif dibuat pada jalan-jalan di kawasan luar bandar atau di kawasan perbukitan dan pergunungan.
“Jadi dalam kes ini saya harapkan supaya kerajaan akan berikan perhatian kepada pemantauan cerun di kawasan-kawasan seperti ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Disebabkan jalan ini dibina berpuluh tahun dahulu dan mungkin tidak mengikut spesifikasi keselamatan pembinaan yang terkini, ia akhirnya hilang kestabilan lalu runtuh apabila tanahnya tidak dapat lagi menampung jumlah air yang banyak apabila berlaku hujan lebat yang di luar kebiasaan, ujarnya.
#Tanah Runtuh Batang Kali
#Profesor Ibrahim Komoo
#Jabatan Kerja Raya
#spesifikasi keselamatan pembinaan