Pemantauan harga barangan di pasar awam, pasar raya
Sinar Harian
November 26, 2021 07:45 MYT
November 26, 2021 07:45 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menggerakkan seramai 172 pegawai penguat kuasa dan 51 pegawai pemantau harga (PPH) di seluruh Kedah bagi memantau serta menangani isu kenaikan harga barangan yang sedang berlaku.
Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, pemeriksaan berterusan dilakukan di pasar-pasar awam dan pasar raya untuk memastikan peniaga tidak menjual barangan dengan harga yang terlalu tinggi.
Menurutnya, harga di pasar raya juga berlakunya kenaikan dan penurunan setiap hari, namun tidak melibatkan semua jenis barangan.
"Para peniaga disarankan supaya menjadi pengguna pintar dengan merancang pembelian terbaik, mengetahui hak pengguna dan menyalurkan aduan berkaitan kepenggunaan pada saluran yang betul.
"Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang dengan menaikkan harga barangan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian melalui beberapa cara atau hadir membuat laporan di enam bah cawangan KPDNHEP Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya memandang serius isu kenaikan harga barangan yang berlaku sepertimana yang telah dibangkitkan oleh pengguna dan media.
Menurutnya, bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barangan, terutama pada penduduk luar bandar dan pedalaman, KPDNHEP telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program penyeragaman harga dan program pengedaran barangan perlu seperti beras, minyak masak, gula, diesel, petrol RON 95 dan LPG.
"Kenaikan harga barangan seperti ayam dan sayur-sayuran berpunca daripada peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun merupakan antara punca yang menyumbang kepada kenaikan harga produk itu di pasaran.
"Sebahagian besar kos operasinya melibatkan kos makanan dengan hampir 100 peratus diimport dari negara asing seperti jagung dan soya.
"Bagi sayur-sayuran, ada sayur keluaran tempatan yang harganya naik kerana pada masa ini sudah sampai ke penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang sememangnya harga sayur akan meningkat," ujarnya.
Tambahnya, keadaan cuaca yang tidak menentu dan ketidakseimbangan permintaan dalam pasaran juga menyebabkan harga barangan tersebut naik secara mendadak.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan mengambil keuntungan secara berlebihan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian