Pemantapan tata kelola organisasi melalui AIGA
Kenyataan Media
Januari 15, 2023 07:00 MYT
Januari 15, 2023 07:00 MYT
MAJLIS Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 yang julung kalinya diadakan di negara ini akan disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 18 Januari 2023.
AIGA merupakan salah satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) selaras dengan peranannya sebagai peneraju utama pembudayaan dan penerapan nilai-nilai integriti serta tata kelola di segenap lapisan masyarakat Malaysia. Usaha ini juga adalah selari dengan mandat baharu yang diberikan kepada IIM oleh kerajaan untuk memantapkan kualiti dan prestasi tata kelola sektor awam serta swasta di Malaysia.
Selain itu, AIGA merupakan satu anugerah yang memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik dalam organisasi masing-masing.
Di samping itu, ia mewujudkan ruang untuk mencungkil keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan sektor awam serta swasta dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan dalaman pengurusan integriti.
Sejarah AIGA sebenarnya bermula sejak tahun 2020. Pada tahun tersebut, penganjuran AIGA secara rintis oleh IIM dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) telah diadakan di peringkat negeri Pahang sahaja. Penganjuran AIGA peringkat negeri Pahang telah meraih penyertaan sebanyak empat puluh satu (41) organisasi kerajaan dan swasta di seluruh negeri tersebut.
Susulan kejayaan projek rintis AIGA 2020 peringkat negeri Pahang, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM telah mengusulkan supaya AIGA dikembangkan penganjurannya ke peringkat kebangsaan.
Sejumlah 143 pendaftaran penyertaan AIGA 2022 telah diterima daripada pelbagai organisasi oleh IIM. Dari jumlah berkenaan, sebanyak 115 organisasi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat multinasional (MNC), syarikat awam berhad (PLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah berjaya meneruskan penyertaan sehingga ke peringkat penilaian.
Penilaian AIGA 2022 adalah berdasarkan:
• MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System;
• MS ISO 9001:2015 Quality Management System;
• ISO 37000:2021 Governance of Organizations – Guidance;
• ISO 37002:2022 Whistleblowing Management System;
• Garis Panduan Tatacara Mencukupi (Di bawah Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009); dan
• Malaysian Code on Corporate Governance (2017).
Justeru, AIGA adalah merupakan platform terbaik di negara ini bagi organisasi awam dan swasta untuk menilai tahap pelaksanaan serta keberkesanan sistem pengurusan integriti dan program-program integriti serta antirasuah dalam organisasi masing-masing, dan seterusnya dapat memantapkan tata kelola terbaik. Tambahan pula, proses penilaian dibuat oleh pihak ketiga yang merupakan individu-individu berpengalaman dan berpengetahuan berkaitan integriti, tata kelola baik serta antirasuah yang mewakili sektor awam, sektor swasta dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selari dengan konsep penambahbaikan berterusan terhadap penganjuran AIGA yang akan dilaksanakan secara tahunan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah menzahirkan komitmen dan hasrat kepada IIM untuk turut bekerjasama dalam penganjuran AIGA 2023 yang bakal dibuka pendaftarannya pada 18 Januari 2023 ini.
Adalah diharapkan agar penyertaan bagi AIGA 2023 dapat menarik minat lebih banyak lagi organisasi dari sektor awam dan swasta dalam usaha memantapkan tata kelola terbaik serta integriti organisasi masing-masing, dan seterusnya dapat mencegah jenayah rasuah, penyelewengan serta salahguna kuasa daripada berleluasa, seperti yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kebajikan rakyat dan negara demi kebajikan rakyat dan negara.
* Wan Suraya Wan Mohd Radzi adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.