Pemansuhan UPSR, PT3 beri ruang pelaksaaan PBS lebih berkesan - Mohd Radzi
Umavathi Ramayah
Ogos 8, 2022 13:49 MYT
Ogos 8, 2022 13:49 MYT
KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dalam sistem pendidikan negara adalah bagi membolehkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan lebih berkesan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, penilaian yang dilakukan menerusi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) akan membuka ruang kepada para guru untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif bagi memperkasakan pencapaian pelajar.
Menurutnya, PBS bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, malah berpotensi melahirkan generasi yang berkeyakinan tinggi.
"Bila nak mansuh peperiksaan, orang kata bagaimana nak mansuh kalau kita belum bersedia dengan PBS sedangkan PBS telah dilaksanakan sejak 2011.
"PBS mula diperkenalkan pada 2011. Ini bukan sesuatu yang baharu. Maksudnya perkara ini sudah ada dalam sistem pendidikan negara untuk tempoh yang panjang, lebih 10 tahun.
"Selepas lebih 10 tahun, ramai yang kata kita masih belum bersedia untuk PBS. Persoalannya, kalau 10 tahun kita tak bersedia, berapa puluh tahun lagi kita akan bersedia?" soal Mohd Radzi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Transformasi Pendidikan bertajuk Satu Pengalaman Kolektif, Tanggungjawab Bersama di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, selagi peperiksaan tidak dimansuhkan maka selagi itu sistem pendidikan negara akan terus berorientasikan dan tertumpu kepada peperiksaan.
"Guru-guru akan terus tertumpu kepada peperiksaan dan memastikan pelajar mendapat keputusan yang baik, maka fokusnya adalah memberi latih tubi yang berterusan kepada mereka (pelajar).
"Sebab itu kita lakukan transformasi yang kita lihat secara menyeluruh bukan sahaja sekadar pemansuhan UPSR dan PT3 tetapi bagaimana untuk melatih para guru menjadi lebih kreatif dengan melihat bagaimana pendigitalan dapat membantu," katanya.
Pada 28 April lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan sepenuhnya UPSR dan digantikan dengan PBS dan PBD. Sementara pada 2 Jun lalu, KPM turut mengumumkan PT3 dimansuhkan bermula tahun ini.