Pemansuhan borang EnterSarawak bakal hidupkan kembali sektor pelancongan - Nancy

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 17, 2022 19:20 MYT
Nancy berharap Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa empat bakal mengembalikan kemakmuran ekonomi di Sarawak khasnya dalam industri pelancongan tempatan. - Foto Astro AWANI
SAMARAHAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyifatkan pemansuhan borang EnterSarawak untuk kemasukan pengembara dari seluruh negara ke negeri itu mampu mengoptimumkan aktiviti industri pelancongan domestik di negeri itu.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pemansuhan ini akan memudahkan agenda MOTAC untuk menganjurkan semula acara-acara yang ditangguhkan sebelum ini.
“Insya Allah selepas tahun baru Cina kita akan memulakan balik aktiviti yang telah kita rancangkan, dan ini akan menghidupkan semula suasana kecerian yang ada di Sarawak dan juga di seluruh negara yang memang kita nak mulakan,” katanya.
Nancy berkata demikian kepada media selepas meninjau dan menyerahkan Projek Baik Pulih Ban Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) di Kampung Lubok Punggor dekat sini pada Isnin.
Jelasnya pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa empat bakal mengembalikan kemakmuran ekonomi di Sarawak khasnya dalam industri pelancongan tempatan dengan lebih komprehensif.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy juga mendedahkan satu perjumpaan akan diadakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membincangkan mekanisme terbaik terutama dalam proses pelaksanaan umrah.
“Itu akan kita bincangkan pada 19 Januari, saya bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan pemegang taruh dalam industri termasuk ejen pelancongan yang bertanggungjawab hal umrah ini dan selepas itu kita akan memberitahu perkembangan terkini perkara berkaitan umrah kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah berkuat kuasa 8 Januari susulan kes varian Omicron COVID-19 yang dikesan tinggi dalam kalangan peserta umrah.
Untuk rekod, dalam tempoh 25 November 2021 hingga 11 Januari 2022, sejumlah 16 kluster COVID-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi telah dikesan di mana tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.
#Nancy Shukri #ENTERSARAWAK #Khairy Jamaluddin #sektor pelancongan
;