PEMANIS bantah tuntutan HINDRAF 2.0

Bernama
Mei 30, 2018 19:00 MYT
Datuk Mohd Zain Hamzah menegaskan UiTM diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan tidak wajar bagi kaum lain mempertikaikannya.
Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) menyifatkan permintaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) supaya Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada semua kaum sebagai keterlaluan dan tidak wajar sama sekali.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Zain Hamzah menegaskan UiTM diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan tidak wajar bagi kaum lain mempertikaikannya.
"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sekarang tidak harus berlembut dengan permintaan itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Hindraf yang menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.
Mohd Zain berkata penubuhan UiTM tidak pernah dipertikai oleh kaum lain tetapi Hindraf mencabar orang Melayu sebaik Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 atas alasan untuk membela kaum India.
"Saya yakin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir negara selama 22 tahun sebelum ini tidak akan tunduk terhadap desakan tersebut.
-- BERNAMA
#Bumiputera #kerajaan #Mahathir Mohamad #MARA #Melayu #Mohd Zain Hamzah #Pakatan Harapan #pelajar #UiTM
;