Pemangku Sultan Johor terima menghadap PM

Bernama
Oktober 23, 2024 21:56 MYT
Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Anwar, Hannah Yeoh serta Hamidin di sebuah hotel di ibu kota. - Gambar FB HRH Crown Prince of Johor
JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di sebuah hotel di ibu kota.
"Dalam pertemuan ini, pelbagai isu terkini dan berkaitan negeri Johor telah disampaikan serta dibincangkan," menurut hantaran di laman Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail hari ini.
Turut hadir pada sesi itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin.
"Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai perancangan serta pembangunan sukan bola sepak negara dan pasukan kebangsaan," menurut hantaran itu.
Menerusi hantaran berasingan, Tunku Mahkota Ismail turut berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki di tempat sama.
-- BERNAMA
#bola sepak #Facebook #SPRM #pasukan kebangsaan
;