Pemangku Raja Pahang minta mangsa kebakaran bersabar

Noraniza Kamsani
Ogos 31, 2019 17:20 MYT
Tengku Hassanal meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Pekan Sungai Lembing yang ditempatkan di Dewan SJKC Sungai Lembing, pada Sabtu. - Astro AWANI/Noraniza Kamsani
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berharap semua mangsa kebakaran di Pekan Sungai Lembing di sini bersabar dengan kejadian yang menimpa mereka.
Baginda bertitah, kerajaan negeri dan agensi berkaitan juga perlu menyegerakan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat dalam kebakaran awal pagi tadi itu.
"Dengan bantuan ini diharap dapat meringankan beban kesemua mangsa yang terlibat.
"Saya juga sudah menyembah maklum kepada Paduka Ayahanda mengenai kejadian ini dan Insya-Allah, Baginda akan meluangkan masa melawat anda semua tidak lama lagi," katanya.
Tengku Hassanal bertitah demikian kepada media selepas meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Pekan Sungai Lembing yang ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing, pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang sudah meluluskan bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada 29 keluarga yang terbabit dalam kebakaran itu.
"Mangsa juga ada yang menerima bantuan kit makanan dan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri," katanya.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi, sebanyak 32 kediaman dan premis kedai dua tingkat musnah, termasuk sebuah perpustakaan.
Kejadian itu turut mengorbankan pasangan suami isteri warga emas, Ho Yuk Fun, 74, dan Chow Kim Mui, 70.
Namun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memaklumkan pihaknya hanya menemui satu mayat kira-kira jam 6 pagi tadi.
Usaha untuk mengesan satu lagi mayat sedang dicari menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K-9).
#bomba #JBPM #mangsa kebakaran #pekan sungai lembing #Pemangku Raja Pahang #penempatan sementara #tengku hassanal ibrahim shah
;