Pemangku Raja Pahang cemar duli ziarah mangsa banjir di Bera

Azizah Shafiei
Disember 23, 2021 21:57 MYT
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada 50 keluarga mangsa banjir di PPS SK Sri Buntar, petang Khamis. - Astro AWANI
BERA: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, hari ini.
Antara PPS dilawati Tengku Hassanal ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong, SK Kerayong Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong dan SK Sri Buntar.
Pada lawatan di lokasi PPS SK Sri Buntar, Tengku Hassanal meluangkan masa lebih kurang satu jam menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir, sementara di tiga PPS terawal, baginda meluangkan masa antara 20 hingga 30 minit.
Tengku Hassanal turut mengingati rakyat yang terkesan akibat banjir supaya bersabar dalam menghadapi ujian yang menimpa dan menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke PPS.
"Terima kasih kepada semua. Saya harap semua dapat menjaga SOP semasa berada di sini (PPS)," titah baginda.
Dalam lawatan tersebut, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa-mangsa bencana alam itu.
Mengiringi baginda semasa lawatan berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
#Pemangku Raja Pahang #Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah #cemar duli #lawat mangsa banjir #banjir #pusat pemindahan banjir #PPS #Bera
;