Pemangku Raja Kelantan ziarah keluarga anggota bomba yang terkorban

Bernama
Oktober 5, 2018 05:54 MYT
Tengku Muhammad Faiz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Shaari ketika menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas, 5 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat menziarahi keluarga dua anggota penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lalu.
Baginda berkenan menziarahi keluarga Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, di Kampung Lubok Setol, Rantau Panjang dan kemudiannya keluarga Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, di Kampung Kubang Terap di sini pada Jumaat.
Sempena keberangkatan itu, baginda berkenan menyampaikan Sumbangan Diraja kepada kedua-kedua keluarga terbabit.
Baginda turut menzahirkan perasaan yang amat sedih dan terharu dengan kematian enam anggota PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam tragedi tersebut.
Baginda mengucapkan takziah kepada keluarga dan berdoa semoga roh mereka ditempatkan bersama para syuhada dan orang yang beriman.
BACA: Kronologi tragedi enam anggota bomba lemas
BACA: Bantuan pernafasan anggota bomba tertanggal ketika operasi
Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik, Shaari Awang, 58, berkata kunjungan Pemangku Raja Kelantan itu adalah penghargaan yang amat besar kepada Allahyarham anaknya atas jasa dan perkhidmatannya kepada masyarakat.
"Sebagai ayah, sudah tentu kunjungan baginda menjadi kebanggaan kami sekeluarga walaupun Allahyarham sudah tiada kerana pengorbanan arwah mendapat penghormatan dan penghargaan daripada pemimpin nombor satu negeri ini," katanya.
Beliau berkata sumbangan yang dikurniakan baginda merupakan penghargaan yang besar dan akan diingati oleh keluarganya.
Selain dua penyelam terbabit, empat lagi anggota PPDA yang terkorban dalam tragedi itu ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; dan Adnan Othman, 33.
BACA: Bomba lemas: Bapa remaja jatuh lombong ucap takziah
BACA: Mayat remaja lemas dijumpai
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang hari sama (Rabu).
Bagaimanapun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain menyebabkan semua mangsa lemas.
-- BERNAMA
#bomba #faiz petra #Izatul Akma Wan Ibrahim #keluarga #lemas #lombong #Muhammad Faiz Petra #Muhammad Hifdzul Malik Shaari #Pasukan Penyelamat Di Air #Pemangku Raja Kelantan #Penyelam #PPDA #Puchong #sumbangan #ziarah
;