Pemandulan anjing langkah terbaharu tangani rabies
Rohana Wahed
September 8, 2018 15:21 MYT
September 8, 2018 15:21 MYT
Para pemilik anjing di Sarawak disarankan untuk ‘memandulkan’ haiwan peliharaan mereka secara sukarela sebagai langkah terakhir untuk mengekang penularan wabak rabies.
Pengarah Veterinar Sarawak, Dr Adrian Susin berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil bagi mengawal populasi anjing, seterusnya mengelakkan wabak itu daripada terus merebak.
"Pesanan saya, pemilik-pemilik anjing disarankan untuk memandulkan anjing masing-masing. Ini adalah untuk mencegah, untuk mengawal populasi anjing," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Dr Adrian ditemui pada Program Vaksinasi Antirabies besar-besaran di kawasan Metrocity Matang di Kuching hari ini.
Setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah melakukan pengawalan populasi dengan menangkap 9,042 anjing terbiar.
Pada masa yang sama, sejumlah lagi yang menunjukkan simptom rabies telah dilupus untuk diperoleh sampel dan daripada jumlah tersebut, 187 anjing dan 14 kucing didapati positif.
Program ini mendapat sambutan hangat apabila lebih 300 anjing telah disuntik dalam tempoh empat jam.
Dua lagi lokasi vaksinasi yang berlangsung hari ini adalah di Betong dan Miri.
Penularan virus rabies agak membimbangkan di Sarawak kerana ia berlaku dari Lundu hingga ke Sarikei, sejak mula dikesan 30 Jun tahun lalu.
#anjing
#Dr Adrian Susin
#haiwan
#Kuching
#mandul
#Miri
#Pengarah Veterinar Sarawak
#rabies
#Sarawak
#virus
#wabak