Pemandu warga emas maut kemalangan tiga lori di Lebuhraya Utara Selatan
Abd Razak Mohd Ali
Mei 5, 2021 12:14 MYT
Mei 5, 2021 12:14 MYT
TAPAH: Seorang pemandu warga emas maut dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah lori di Kilometer 326 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, hari ini.
Pemandu lori tangki, A. Samynogam, 66 tahun, yang beralamat di Matang, disahkan maut di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail, kemalangan berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika lori tangki tanpa muatan yang dipandu mangsa dalam perjalanan ke arah selatan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori mangsa telah melanggar sebuah lori simen yang berada di lorong kiri, di bahagian kanan belakang, menyebabkan lori itu terbabas ke bahu jalan.
“Seterusnya lori mangsa melanggar dan menyeret sebuah lori yang membawa muatan air mineral sejauh lebih kurang 50 meter sebelum lori tersebut melanggar besi pembahagi jalan dan masuk ke lorong bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Azharuddin berkata, pemandu lori simen tidak mengalami kecederaan manakala pemandu lori yang membawa muatan air mineral mengalami kecederaan di kepala dan telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk urusan bedah siasat yang dijadualkan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan
#maut
#polis
#PLUS
#Lebuhraya Utara Selatan
#warga emas
#mangsa
#mayat
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#lori tangki
#lori simen
#Lori