Pemandu wanita rempuh kedai stesen minyak

Bernama
Disember 1, 2020 05:58 MYT
Kedai yang dirempuh mengalami kerosakan cermin hadapan manakala kenderaan itu juga turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu wanita warga asing secara tidak sengaja merempuh premis kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Bandar Baru Bangi dekat sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 2.20 petang, wanita berusia 33 tahun itu telah masuk ke dalam kereta Proton Saga bertransmisi manual berkenaan lalu menghidupkan enjin.
"Bagaimanapun, tanpa disedari kenderaan berkenaan masih dalam gear dan bukan free (neutral) menyebabkan ia melonjak ke hadapan dan melanggar cermin kaca kedai lalu merempuh masuk ke dalam kedai berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.
Kedai itu mengalami kerosakan cermin hadapan manakala kenderaan itu juga turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan tetapi pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan
Mohd Zaid turut menasihat pemandu agar berhati-hati terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi selain berkata pengusaha stesen minyak juga mungkin perlu memikirkan ciri-ciri keselamatan untuk mengelakkan premis kedai dirempuh kenderaan.
--BERNAMA
#rempuh #polis #stesen minyak #Mohd Zaid Hassan #kedai #pemandu wanita #warga asing #Bandar Baru Bangi #Proton Saga #kerosakan #ciri-ciri keselamatan
;