Pemandu Viva maut, penunggang motosikal cedera parah dalam nahas jalan raya

Aida Aziz
Disember 12, 2023 09:15 MYT
Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva yang berlanggar dengan sebuah motosikal di Kampung Changkat Kinding, dekat Tanjung Rambutan, pagi ini. - Foto PDRM
TAMBUN: Seorang pemandu wanita maut manakala seorang pelajar lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Viva dan motosikal di Kampung Changkat Kinding, dekat Tanjung Rambutan, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang juga wanita berusia 59 tahun itu memandu kereta Perodua Viva sementara pelajar berusia 17 tahun itu menunggang motosikal.
Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.17 pagi tadi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bergegas ke lokasi.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva berlanggar dengan sebuah motosikal.
"Terdapat seorang wanita tersepit dan meninggal dunia di dalam kereta tersebut, manakala seorang penunggang motosikal cedera parah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, terdapat seorang kanak-kanak berusia enam tahun di dalam kenderaan tersebut, bagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan serta dirujuk bagi pemeriksaan lanjut.
Susulan itu, katanya, mangsa yang cedera parah diserahkan kepada pihak hospital dan mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Nijar itu tamat pada jam 8.03 pagi.
#kemalangan #pemandu Viva maut #penunggang motosikal #Kanak-kanak
;