Pemandu van mengaku tidak bersalah sebar berita palsu tentang rusuhan

Noraniza Kamsani
Julai 18, 2018 14:07 MYT
Pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai kejadian rusuhan di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) pada 10 dan 11 Julai lalu. - Foto Astro AWANI
Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai kejadian rusuhan di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) pada 10 dan 11 Julai lalu.
Tertuduh Mohd Shaiful Adhar Mohd Shukor, 30, dari Taman Ria II, di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali hari ini.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa memuat naik catatan menerusi laman sosial Facebook.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Julai lalu pada jam 10.07 malam bagi tujuan untuk menyakitkan atau menganggu orang lain.
Pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan didakwa memuat naik satu lagi catatan, juga di Facebook pada 11 Julai lalu jam 11.51 malam, atas tujuan yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3), jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin sebelum menetapkan tarikh 20 Ogos depan untuk sebutan semula dan lantikan peguam.
#berita palsu #China #hasutan #Kuantan #laman sosial #mahkamah #Mahkamah Sesyen #Taman Perindustrian Malaysia-China
;