Pemandu van halang ambulans diambil tindakan

Sinar Harian
Februari 17, 2024 04:55 MYT
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah van dipercayai menghalang laluan ambulans di KM14, Lebuhraya Pasir Gudang pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
PASIR GUDANG: Pemandu van yang dipercayai menghalang laluan ambulans di Kilometer 14, Lebuhraya Pasir Gudang pada Sabtu telah diambil tindakan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pada jam 10.17 pagi dengan satu video yang turut dimuat naik di media sosial berhubung kejadian itu.
"Dalam video berkenaan, van jenis Toyota Hiace didapati tidak mengendahkan untuk memberikan laluan kepada ambulans yang telah membunyikan siren dan lampu.
"Akibatnya, ambulans tersebut memotong lorong kiri.
"Pemandu van iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun telah dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seri Alam," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.
Menurut Mohd Sohaimi, semakan pihaknya mendapati pemandu van tersebut mempunyai tujuh saman trafik.
"Tindakan diambil mengikut Kaedah 9(2) LN166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada kenderaan ambulans dan Seksyen 56(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai diminta sentiasa patuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," katanya.
Sebelum itu, satu rakaman video berdurasi 47 saat tular memaparkan sebuah van dikatakan tidak memberi laluan kepada ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan. - Sinar Harian
#Ambulans #van halang ambulans #Lebuhraya Pasir Gudang #polis
;