Pemandu van bawa pelajar tahfiz tiada lesen memandu - Polis
Bernama
Jun 3, 2017 16:43 MYT
Jun 3, 2017 16:43 MYT
Pemandu van yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan tujuh pelajar tahfiz di Kuala Krai semalam didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Zulkarnain Ismail Al Haj bagaimanapun berkata individu berusia 24 tahun itu tidak mempunyai rekod saman trafik.
"Siasatan awal polis mendapati van jenis Weststar Maxus V80 itu dipercayai memotong sebuah kenderaan di hadapannya.
"Apabila pemandu van masuk semula ke laluannya, van itu hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di sebelah kanan jalan," katanya.
Kemalangan di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu pada kira-kira 9.40 pagi itu turut mengakibatkan tujuh yang lain cedera dengan lima daripadanya parah.
Ketika kejadian, sekumpulan 12 pelajar dan dua guru pengiring mereka dari Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang itu dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghadiri satu program di Madinah Ramadan dekat Stadium Sultan Muhammad IV.
-- BERNAMA
#DSP Zulkarnain Ismail Al Haj
#kemalangan
#Kuala Krai
#lesen memandu
#pelajar
#pemandu
#polis
#tahfiz