Pemandu Uber mengaku tidak bersalah cabul wanita Vietnam

Astro Awani
Jun 13, 2017 17:22 MYT
Muhammad Sukri dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau didenda, disebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. - Gambar fail
Seorang pemandu Uber mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita warga Vietnam pada Selasa minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Sukri Ramli, 30, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Catherine Nicholas.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Sukri didakwa menggunakan kekerasan terhadap Tran Thi Thu Thuan, 43, dengan maksud untuk mencabul, ketika dalam perjalanan dari Lintang Paya Terubong ke Jalan Argyll kira-kira jam 3.56 petang, 6 Jun.
Muhammad Sukri dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau didenda, disebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Sharuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Catherine kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 berserta seorang penjamin dengan syarat tambahan, beliau perlu melapor di balai polis berhampiran hingga kes selesai.
Kes disebut semula 18 Julai depan.
Dalam kejadian kira kira jam 4 petang itu, pemandu Uber itu cedera dibelasah 10 lelaki selepas dia didakwa mencabul wanita warga Vietnam yang menggunakan perkhidmatannya.
Dia didakwa membuka seluar dan menarik tangan wanita berkenaan supaya memegang kemaluannya namun dia menafikan perkara tersebut dalam laporan polis dibuat kemudiannya.
Insiden dia dibelasah itu telah dirakam dan video berdurasi empat minit 22 saat itu menjadi tular di laman sosial.
#cabul #laman sosial #Mahkamah Majistret #Muhammad Sukri Ramli #Tran Thi Thu Thuan #Uber #Vietnam
;