Pemandu treler rempuh rumah direman empat hari

Sinar Harian
Ogos 4, 2024 03:50 MYT
Pemandu lori (kiri) yang terbabas dan merempuh rumah sehingga mengorbankan dua beradik di Kampung Ketapang Hilir awal pagi Sabtu dibawa ke Mahkamah Majistret Pekan pada Ahad untuk perintah reman. -Sinar Harian
PEKAN: Pemandu treler yang terbabas merempuh sebuah rumah sehingga mengorbankan dua beradik di Kampung Ketapang Hilir di sini awal pagi Sabtu ditahan reman selama empat hari bermula Ahad sehingga Rabu depan.
Lelaki berusia 40 tahun beralamat dari Taman Bukit Indah, Johor Bahru itu tiba di Mahkamah Majistret Pekan dekat sini kira-kira jam 9.45 pagi dengan diiringi anggota polis.
Perintah reman ke atas pemandu lori itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini media melaporkan dua beradik maut selepas rumah didiami mereka dirempuh treler yang dipandu lelaki terbabit dalam kejadian di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin, Kampung Ketapang Hilir awal pagi Sabtu.
Dalam nahas kira-kira jam.4.15 pagi itu, mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Kejadian turut mencederakan tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa mangsa berusia 64 dan 54 tahun serta seorang rakan, berusia 19 tahun.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mohd Zin sebelum ini, treler dipandu lelaki terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh rumah dihuni mangsa.
Siasatan awal pihak polis mendapati kenderaan terbabit dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.
Ujian saringan awal ke atas pemandu treler mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. -Sinar Harian
#pemandu treler #rempuh rumah #Kampung Ketapang Hilir #dua beradik maut