Pemandu treler maut tersepit di tempat duduk

Adie Sufian Zulkefli
Julai 2, 2024 09:30 MYT
Seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu dalam kemalangan melibatkan dua buah treler di Kilometer 62, Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, pada Selasa. - Foto JBPM
PENDANG: Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan dua buah treler di Kilometer 62, Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu mangsa berusia 25 tahun yang juga pemandu treler maut tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan dua buah treler. Ketua Operasi memaklumkan salah seorang pemandu treler tersepit di tempat duduk pemandu.
“Anggota berjaya mengeluarkan mangsa dengan memotong besi dan tempat duduk pemandu sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang tiba selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Ezzat berkata, mayat mangsa di serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#kemalangan #pemandu lori treler #tersepit di tempat duduk #Lebuh Raya Utara Selatan
;