Pemandu treler maut dihempap muatan konkrit di Lebuhraya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali
April 12, 2022 11:30 MYT
Khidmat kren digunakan untuk mengangkat dan mengalihkan konkrit bagi mengeluarkan mangsa. Foto JBPM Perak
TAIPING: Seorang pemandu maut dihempap muatan konkrit selepas treler yang dipandunya terbabas di Kilometer 220, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, pagi ini.
Mangsa yang berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 4.43 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa muatan tiang konkrit terbabas ke bahu jalan menyebabkan pemandu dihempap dan dihimpit muatan konkrit tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, khidmat kren digunakan untuk mengangkat dan mengalihkan konkrit bagi mengeluarkan mangsa.
Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira lapan minit selepas kren mengangkat dan mengalihkan konkrit, untuk mengeluarkan mangsa yang terhempap.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Md Isa tamat jam 8.35 pagi.
#maut dihempap muatan konkrit #treler terbabas #Lebuhraya Utara Selatan #muatan tiang konkrit
;