Pemandu treler maut, 7 cedera nahas tiga kenderaan di Tasik Banding

Abd Razak Mohd Ali
Februari 7, 2022 08:27 MYT
Pemandu treler maut, manakala tujuh yang lain termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 34, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding pada petang Ahad. -Foto JBPM
GERIK: Seorang pemandu treler maut, manakala tujuh, termasuk tiga kanak-kanak, cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 34, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, dekat sini, pada petang Ahad.
Pemandu treler dikenali sebagai Nor Amin Mohamad Ismail, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Selain treler membawa muatan dedak haiwan itu, nahas turut melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal.
Mangsa yang cedera pula ialah pasangan suami isteri dan tiga anak mereka berusia 5, 7 dan 8 tahun yang menaiki Proton Saga, kelindan treler dan penunggang motosikal.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 4.42 petang.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan menyebabkan pemandu treler tersepit manakala mangsa yang lain tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kemalangan | Pemandu treler maut, tujuh yang lain cedera
Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Anggota bomba juga memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera, seterusnya menghantar mereka ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nizam Zakaria dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, tamat jam 7.36 malam.
#pemandu treler #nahas tiga kenderaan #tasik banding #JRTB
;