Pemandu treler ibarat pembawa 'bom jangka' - Penyelidik

Hilal Azmi
April 3, 2017 11:32 MYT
Enam maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki semua mangsa dihempap treler yang terbabas di KM403.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim pada Ahad. - Foto BERNAMA
Kejadian kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengorbankan enam sekeluarga pada Ahad memaksa pihak berkuasa agar tidak lupa untuk melakukan penguatkuasaan terhadap pemandu treler.
Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Law Teik Hua, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada kini banyak memberi perhatian terhadap tahap keselamatan pada kenderaan semata-mata.
"Saya rasa lebih mustahak ialah pemandu treler kerana kebanyakan mereka terpaksa bekerja lebih masa demi pendapatan yang lebih.
"SOP ketika ini memerlukan setiap kenderaan yang mahu memperbaharui cukai jalan, dikehendaki melakukan pemeriksaan di PUSPAKOM tetapi tiada pemeriksaan ke atas pemandu dibuat.
"Bagi pemandu bas, mereka akan dinilai oleh pengguna tetapi tidak untuk pemandu treler yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah beliau, pemandu treler harus ada rasa tanggungjawab yang tinggi kerana muatan yang dibawa mereka bukannya kecil.
"Mereka boleh diibaratkan pembawa 'bom jangka' yang bila-bila masa saja boleh meletup," katanya lagi.
Jelasnya, kualiti kenderaan (termasuk penggunaan tayar yang sesuai dan bukan tayar celup) serta kualiti pemandu perlu diberi perhatian pihak JPJ dan ini antara cabaran terbesar buat mereka dalam melakukan penguatkuasaan ketika ini.
BACA: Enam dipercayai sekeluarga maut dihempap treler
BACA: Kemalangan Lembah Beringin: Pemandu treler ditahan polis
Mengulas mengenai kejadian malang yang menimpa enam sekeluarga, Law menyifatkan antara kemungkinan punca kejadian ialah muatan yang berlebihan mengakibatkan tekanan lebih kepada tayar treler lantas tayar pecah mengakibatkan treler gagal dikawal.
Malah, katanya atas permintaan ekonomi yang kian meningkat, jumlah treler di jalan raya yang semakin banyak turut memberi ancaman kepada pengguna.
#bom jangka #Law Teik Hua #Lebuhraya PLUS #pemandu treler #UPM