Pemandu treler didakwa pandu tak cermat hingga sebabkan kematian dua beradik
Bernama
Jun 20, 2023 16:48 MYT
Jun 20, 2023 16:48 MYT
KUANTAN: Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan memandu tidak cermat sehingga mengakibatkan kematian dua beradik minggu lepas.
Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, didakwa melakukan perbuatan itu sehingga menyebabkan kematian pemandu kereta Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan penumpang Siti Mazurah, 30, berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di sini, pada 11 malam, 13 Jun lepas.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Fadhlin Hani Khairon menawarkan jaminan sebanyak RM15,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia berpendapatan RM3,000 sebulan dan menanggung isteri, anak serta ibu.
Majistret Fatinah Abu Bakar menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Julai.
Media sebelum ini melaporkan dua beradik itu maut selepas kereta mereka dirempuh lori tangki membawa muatan petroleum yang terbabas ke laluan bertentangan.
Kejadian yang berlaku semasa hujan itu menyebabkan kereta yang dipandu Siti Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
-- BERNAMA