Pemandu trak tunda LPT antara 4 yang maut
Azee Shafy
Ogos 27, 2022 21:08 MYT
Ogos 27, 2022 21:08 MYT
TEMERLOH: Pekerja Lebuhraya Pantai Timur (LPT) disahkan antara empat yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM135.7 LPT 1, berdekatan dengan susur keluar Chenor, awal pagi, Sabtu.
Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Azuan Zainal Abidin, 53 yang bertugas sebagai pemandu lori penunda LPT Temerloh telah ditugaskan ke lokasi kejadian untuk menunda sebuah kenderaan rosak di kawasan terbabit.
Difahamkan, sebuah kereta Proton Exora yang dinaiki 11 orang dikatakan rosak dan berhenti di laluan kecemasan, diikuti kereta Proton Waja yang turut dalam perjalanan yang sama ke Kuala Terengganu.
Ketua Operasi dan Penyelengaraan LPT, Wan Mohd Bazli Wan Husin berkata, arwah Mohd Azuan telah berkhidmat selama 15 tahun dengan LPT.
"Arwah ditugaskan menunda kereta Proton Exora yang rosak di laluan kecemasan awal pagi tadi kerana dia sedang bertugas (ketika itu) bermula jam 8.30 malam sehingga 8.30 pagi.
"Kami bersimpati dengan kejadian yang menimpa arwah, dan LPT sedia membantu dalam urusan pengebumian sehingga selesai," ujarnya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini, hari ini.
Menurutnya, arwah juga seorang yang periang malah suka bersedekah dan kerap menderma untuk tabung sumbangan di pejabat LPT Temerloh setiap hari.
Sementara itu, anak Mohd Azuan, Nor Hanis Syahirah, 17, berkata dia mengetahui kejadian menimpa bapanya apabila ibu saudaranya datang ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, Temerloh untuk membawanya ke HoSHAS.
"Saya pelik juga kenapa mak saudara datang pagi-pagi di asrama.
"Bila dapat tahu kejadian menimpa ayah, saya memang terkejut. Sebab ayah baru sahaja jenguk saya dan kakak, petang semalam (Jumaat) di asrama," katanya.
Katanya, arwah datang menjenguknya dan kakaknya, Nor Alea Syafiqah, 18 yang bersekolah di sekolah yang sama, tepat jam 5.30 petang, seperti yang dijanjikan.
"Saya rasa pelik juga sebab selalu ayah jarang datang tepat pada waktu. Tapi, masa itu, saya gembira ayah datang jenguk kami," katanya.
Turut berada di hospital adalah isteri mangsa, Rosinawati Abu Samah, 46, Nor Alea Syafiqah dan adik seorang lagi anak mangsa, Muhammad Hadif Hakimi, 15.
Difahamkan, jenazah dikebumikan di Kampung Jawi, Sanggang, di Temerloh.
Kejadian jam 3.10 pagi itu, dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena hilang kawalan lalu melanggar tiga kenderaan iaitu Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda yang berada di lorong kecemasan.
Identiti empat mangsa maut dalam kemalangan itu dikenal pasti sebagai Mohd Azuan, selain penumpang Proton Exora Mohmed @ Mohamed Shamsuddin, 75, isterinya Kamariah Hamzah, 72, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikenali sebagai Danis.