Pemandu tidak sedar kucing tergantung ketika mahu bawa ke klinik haiwan
Astro Awani
Ogos 9, 2024 16:00 MYT
Ogos 9, 2024 16:00 MYT
NIBONG TEBAL: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mendakwa tidak menyedari kucing yang dibawanya tergantung pada bahagian belakang kenderaannya dalam kejadian di kawasan Simpang Ampat, sehingga tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Chong Boo Khim, berkata, berikutan insiden itu, pemandu terbabit bertindak membuat laporan polis bagi memberi penjelasan berhubung insiden itu selain mengelak salah faham.
Mengesahkan menerima laporan daripada pengadu, Boo Kim berkata, siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu telah menemui seekor kucing jalanan di rumahnya yang berada dalam keadaan tidak terurus.
“Dia kemudiannya mahu membawa kucing tersebut ke klinik haiwan di Simpang Ampat bagi tujuan memandulkan haiwan berkenaan".
“Bagaimanapun semasa dalam perjalanan ke klinik, pengadu tidak menyedari kucing yang diletakkan di bahagian belakang kenderaanya cuba melompat keluar sehingga berada dalam keadaan tergantung", katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Boo Kim, pengadu hanya menyedari haiwan berkenaan berada dalam keadaan tergantung selepas sampai di klinik haiwan dan bertindak membukakan ikatan tali di leher kucing terbabit.
Jelasnya, kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak memanipulasikan kes tular yang boleh menyebabkan kekeliruan.
Semalam, tular gambar seekor kucing yang tergantung di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sehingga mendatangkan kemarahan orang ramai dan pencinta haiwan.
Sementara itu, pemandu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Leong ketika dihubungi berkata, dia tiada niat mahu mencederakan haiwan berkenaan.
Menurut Leong, ketika dalam perjalanan ke klinik haiwan kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya, dia meletakkan kucing berkenaan di bahagian belakang kenderaan dan menutupnya dengan bakul sayur.
Namun haiwan berkenaan berjaya melepaskan diri dari bakul tersebut dan dipercayai telah melompat keluar.
Akibat kejadian itu, dia serta keluarga termasuk keluarga pemilik kenderaan tersebut teruk dikecam dan diganggu orang ramai.
"Setakat ini, berita yang mengatakan kucing itu sudah mati mengakibatkan orang awam menjadi lagi marah. Sedangkan kucing ini sebenarnya masih hidup cuma mengalami sedikit kesan calar akibat geseran di atas jalan", katanya.
"Saya berharap orang ramai tidak terus mengecam saya dan keluarga termasuk pemilik kenderaan itu, kerana saya langsung tiada niat mahu mencederakan haiwan berkenaan" kata Leong.