Pemandu tersepit, lori muatan sawit terbabas
Abd Razak Mohd Ali
Julai 14, 2022 18:40 MYT
Julai 14, 2022 18:40 MYT
TELUK INTAN: Seorang pemandu tersepit apabila lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit terbabas ke dalam parit di Kampung Attaduri, Langkap dekat sini, petang ini.
Lelaki berusia 50 tahun itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 4.04 petang.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori yang membawa muatan sawit terbabas ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Wan Zakari Wan Nor tamat jam 5.49 petang.
#pemandu tersepit
#lori muatan kelapa sawit
#terbabas
#kemalangan
#Kampung Attaduri
#Langkap
#JBPM Perak