Pemandu tersepit, lori dipandu terbabas dekat Kampar

Amirrul Rabbani
Mac 9, 2023 15:27 MYT
Mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun telah mengalami kecederaan parah pada anggota badan akibat kemalangan itu.- Foto JBPM Perak
KAMPAR: Seorang pemandu lori tersepit selepas lori yang dipandunya terbabas di Jalan Malim Nawar, Tanjung Tualang dekat sini pada Khamis.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (KUP) Zahuri Zainal Abidin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah hari.
Katanya, sejurus sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu membabitkan seorang lelaki berusia 43 tahun.
“Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah lori dengan muatan kosong telah terbabas dengan membabitkan seorang pemandu yang tersepit di tempat duduk.
“Mangsa yang juga seorang lelaki berusia 43 tahun itu telah mengalami kecederaan parah pada anggota badan akibat kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya pasukan bomba telah berjaya membawa keluar mangsa daripada kenderaan berkenaan dan menyerahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan bagi menerima rawatan.
Katanya lagi, punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi berkenaan tamat pada jam 1.45 tengah hari.
#lori terbabas #pemandu tersepit #Tanjung Tualang #Kampar
;