Pemandu tersepit, kereta terbabas masuk parit
Aida Aziz
Julai 19, 2024 09:00 MYT
Julai 19, 2024 09:00 MYT
TELUK INTAN: Seorang lelaki cedera tersepit setelah kenderaan yang dipandunya terbabas masuk ke dalam parit di Batu 5, Jalan Maharajalela, di sini awal pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 1.16 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Didapati sebuah kereta jenis Proton S70 terbabas masuk dalam parit, terdapat seorang mangsa iaitu pemandu yang tersepit di dalamnya.
"Komander operasi membuat 'size-up' dan mengaplikasikan konsep SAVER, seterusnya mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Operasi yang diketuai oleh PBK I Abdul Hazhar Ismail itu dianggotai seramai tujuh orang anggota dan tamat jam 1.55 pagi.