Pemandu terselamat, treler musnah terbakar di lebuh raya

Aida Aziz
September 24, 2022 06:30 MYT
Anggota bomba dari BBP Tapah dan Gopeng bertungkus lumus memadam kebakaran yang melibatkan sebuah treler muatan pasir di PLUS arah selatan dekat Tapah malam tadi. - Foto JBPM Perak
TAPAH: Sebuah treler muatan pasir musnah terbakar di bahagian kepala dan badan berdekatan Kilometer (km) 311.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.41 malam.
"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu BBP Gopeng bergegas ke lokasi.
"Didapati kebakaran melibatkan treler yang musnah terbakar 60 peratus di bahagian kepala dan badan kenderaan.
"Bagaimanapun, pemandu sempat keluar dari kenderaan dan insiden itu juga tidak membabitkan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan satu aliran hose reel bagi memadamkan api yang marak sehingga padam sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Nurul Hazlin Loon itu tamat pada jam 9.22 malam.
#treler muatan pasir #PLUS #pemandu treler selamat #treler terbakar
;