Pemandu terselamat, kereta dihempap pokok tumbang
Abd Razak Mohd Ali
Mei 13, 2024 10:15 MYT
Mei 13, 2024 10:15 MYT
KAMPAR: Seorang wanita terselamat selepas kereta yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Kuala Dipang Pearl Park, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, pemandu wanita berusia dalam lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.55 pagi.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Toyota Vios.
“Komander operasi mengarahkan anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Zahuri Zainal tamat jam 8.27 pagi.