Pemandu terbabit insiden dihempap kayu balak tiada lesen memandu - Polis

Bernama
Julai 11, 2024 09:00 MYT
Pemandu itu datang ke balai untuk menyerah diri dan mengakui kesalahannya yang tidak mempunyai lesen memandu. - Gambar fail
GUA MUSANG: Pemandu lori yang terbabit dalam insiden penunggang motosikal dihempap kayu balak di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Selasa didapati tidak memiliki lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pemandu berusia 24 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Gua Musang pada hari yang sama.
"Pemandu itu datang ke balai untuk menyerah diri dan mengakui kesalahannya yang tidak mempunyai lesen memandu.
"Polis turut mengeluarkan saman ke atas pemilik lori yang berusia 58 tahun kerana membenarkan kenderaan itu dipandu oleh individu yang tidak mempunyai lesen," katanya kepada Bernama hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada Selasa lepas, seorang wanita nyaris maut akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di persimpangan berkenaan dan kini sedang menjalani rawatan di hospital akibat kecederaan parah.
-- BERNAMA
#pemandu #penunggang motosikal dihempap kayu balak #Gua Musang #tiada lesen memandu