Pemandu teksi Pulau Pinang masih kaji sama ada mahu guna meter atau tidak

Astro Awani
Mac 20, 2015 07:43 MYT
Kadar tambang teksi bermeter diwartakan untuk Pulau PInang adalah RM4 untuk kilometer pertama dan sebelum ini kadar tersebut pernah diminta untuk dinaikkan sebanyak RM10. - Gambar hiasan
Gabungan Persatuan Pemandu Teksi Dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang bersedia menggunakan teksi bermeter sepenuhnya di negeri itu sekiranya kenaikan kadar tambang baru itu memberi manfaat kepada pemandu teksi.
Yang Dipertua gabungan persatuan itu, Abd Malek Darus berkata, pihaknya bagaimanapun akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu tentang kenaikan kadar itu sebelum memastikan semua pemandu teksi di negeri itu menggunakan meter.
“Saya bagi pihak gabungan tidak dapat menjelaskan kenaikan ini sama ada berpihak kepada pemandu teksi atau sebaliknya.
“Apabila dimaklumkan dengan jelas oleh pihak SPAD, kita akan cuba beroperasi menggunakan meter dengan kadar yang diberi dan melihat sama ada ia memberi manfaat kepada pemandu atau tidak,” ujarnya.
Menurutnya, 90 peratus teksi bermeter di negeri itu tidak menggunakan meter sebagaimana yang diminta kerajaan kerana jarak perjalanan di negeri itu adalah dekat dan tidak menguntungkan jika menggunakan meter.
“Di Pulau Pinang ini situasi berlainan sikit daripada Kuala Lumpur dan Johor Bahru kerana muka buminya kecil. Jarak yang paling jauh pun antara 20 hingga 25 kilometer (km). Kalau dalam bandar, paling jauh adalah 3km,” ujarnya.
Abd Malek berkata, kadar tambang teksi bermeter diwartakan untuk negeri itu hanya RM4 untuk kilometer pertama dan pihaknya sebelum ini meminta kadar itu dinaikkan sebanyak RM10.
Sehingga kini, jumlah pemandu teksi di bawah gabungan persatuan berkenaan adalah sejumlah 2,000 ahli.
Pada Khamis, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Sarat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan tambang teksi dan kereta sewa naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala kadar tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus mulai 15 Mei ini.
Keputusan membenarkan kenaikan tersebut dibuat setelah mengambil kira kenaikan kos yang terpaksa ditanggung pengusaha pengangkutan awam.
Berdasarkan kadar tambang baharu, penumpang Teksi 1Malaysia (Teks1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10km pertama berbanding RM11.80 sebelum ini manakala penumpang di Lembah Klang dan Johor Bahru pula sebanyak RM17.50 bagi 10km pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama.
Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10km pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu.
#abd malek darus #pulau pinang #SPAD #tambang baharu #teksi
;