Pemandu teksi maut tercampak 10 meter dari kenderaan

Bernama
Mei 1, 2022 11:47 MYT
Seorang pemandu teksi maut selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaan yang dipandunya selepas terbabas di susur keluar klia2 awal pagi tadi. -Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang pemandu teksi maut selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaan yang dipandunya selepas terbabas di susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pukul 6.14 pagi daripada orang awam yang melaporkan kemalangan di susur keluar klia2 membabitkan dua kenderaan.
Beliau berkata jentera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada 6.24 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan pukul 6.50 pagi.
"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan menyebabkan pemandu teksi jenis Toyota Innova berumur 38 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
-- BERNAMA
#pemandu teksi #tercampak keluar 10 meter #KLIA2 #Norazam Khamis
;