Pemandu teksi JB-Singapura sifatkan pembukaan sempadan beri sinar baharu

Bernama
Mac 25, 2022 06:00 MYT
Malaysia dan Singapura bersetuju membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April. - Foto fail
JOHOR BAHRU: Pemandu teksi dari Johor Bahru ke Singapura di sekitar bandar raya ini, menyifatkan pembukaan semula sempadan darat bermula 1 April ini sebagai sinar baharu kepada mereka setelah dua tahun hilang mata pencarian susulan pandemik COVID-19.
Hafiz Kasah, 48, yang telah membawa warga tempatan dan Singapura berulang-alik memasuki kedua-dua negara tersebut sejak enam tahun lepas, berkata berita gembira yang diumumkan kerajaan semalam, sememangnya dinantikan pemandu teksi sepertinya.
Bapa tujuh anak itu berkata penularan COVID-19 memaksa dia dan rakan-rakannya, mencari sumber pendapatan lain seperti menjual makanan secara kecil-kecilan sementara menunggu keadaan pulih.
"Kami terpaksa melakukan inisiatif lain untuk bertahan dan mencari rezeki demi kelangsungan hidup sementara menunggu sempadan dibuka.
"Ini kerana, masing-masing mempunyai keluarga yang perlu ditanggung. Jadi, sudah tentu kita bersyukur dan mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk buka semula sempadan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Terminal Bas Larkin Sentral di sini, pada Jumaat.
Seorang lagi pemandu teksi Azali Ahmad, 58, berkata dia berasa teruja dan tidak sabar untuk kembali aktif membawa pelanggan terdiri daripada pelancong dan pekerja yang berulang-alik dari Johor Bahru ke negara republik itu.
"Kami (pemandu teksi) bersyukur dan gembira sebab perkara inilah yang kami nantikan sejak dua tahun lepas. Saya harap ia benar-benar menjadi kenyataan.
"Memang kami tidak ada pendapatan (akibat COVID-19), sebab bila orang Singapura tidak masuk kami tidak boleh ke negara itu sekali gus pendapatan terputus, namun syukur saya masih ada sumber (pendapatan) yang lain," kata Azali yang bekerja sebagai pemandu teksi sejak tiga tahun lepas.
Secara keseluruhan, terdapat 200 pemandu teksi Johor Bahru ke Singapura di terminal berkenaan yang kebanyakannya membawa pelanggan berulang-alik ke Bugis Taxi Stand dan Perhentian Teksi Singapura-Johor di Rochor, Singapura.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati terminal tersebut kembali sesak dan meriah dengan kehadiran pengunjung sejak kerajaan membenarkan pengembara dari Malaysia dan Singapura memasuki kedua-dua negara menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat pada 29 Nov lepas mengikut kuota yang ditetapkan.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerusi kenyataan bersama memaklumkan kedua-dua negara bersetuju membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.
BACA: Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka bermula 1 April
Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.
-- BERNAMA
#COVID-19 #teksi #Sempadan Negara #pemandu
;