Pemandu teksi, e-hailing dan bas Kelantan akan berdepan tindakan
Bernama
Julai 17, 2019 16:35 MYT
Julai 17, 2019 16:35 MYT
Pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian yang beroperasi di negeri ini bakal berdepan tindakan kompaun dan tindakan pendakwaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekiranya tidak mendaftar dan mencarum dengan pertubuhan itu sebelum 31 Julai ini.
Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata pihaknya telah mendekati golongan berkenaan sejak 2017 sehingga kini bagi memberikan penerangan berhubung kepentingan mencarum.
"Malangnya dalam tempoh itu hanya 254 daripada 2,193 pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas sekolah dan pemandu bas kilang yang berdaftar dengan pihak kami.
"Ia menunjukkan kesedaran masih rendah daripada kalangan mereka berikutan hanya 11 peratus yang berdaftar dengan pihak kami," katanya kepada pemberita selepas Ops Pemutihan Perkeso Negeri Kelantan untuk pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas, di sini, hari ini.
Nora berkata melihat kepada jumlah yang tidak memuaskan itu, penguatkuasa perlu diambil terhadap mereka yang masih belum mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.
"Ketika ini kami memberi masa kepada pihak yang terlibat melalui program pemutihan bermula pada 1 sehingga 31 Julai ini dan dalam tempoh ini kami berharap mereka mengambil peluang mendaftar dan mencarum.
"Pendaftar dalam tempoh pemutihan tidak akan dikenakan kompaun namun bermula 1 Ogos depan penguatkuasaan akan bermula," katanya.
Beliau berkata pemandu yang masih belum berdaftar dan mencarum tindakan kompaun mengikut Seksyen 75 Akta Keselamatan Sosial Perkejaan Sendiri 2017 akan diambil tindakan di mana kompuan antara RM500 sehingga RM4,000 akan dikenakan bergantung kepada tempoh kesalahan yang telah dilakukan.
"Sekiranya mereka gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan maka tindakan Pendakwaan akan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri 2017 jika sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau melebihi 2 tahun penjara atau kedua-dua sekali.
"Kami menyeru pihak terbabit mengambil kesempatan yang diberikan sebaik mungkin bagi mengelakkan dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan," katanya.
-- BERNAMA