Pemandu teksi dipenjara 24 tahun kerana mencabul

Bernama
April 5, 2013 20:23 MYT
Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara berjumlah 24 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk mencabul dan menyamun penumpangnya di dalam sebuah teksi dua tahun lepas.
Hakim Hasbi Hasan menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi M.Saravanan, 30.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara lima tahun dan satu sebatan serta penjara tujuh tahun, masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.
Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun sahaja selepas Hakim Hasbi memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 16 Jun 2011.
Bagi pertuduhan pertama, Saravanan didakwa melakukan seks oral terhadap wanita berusia 31 tahun itu di dalam sebuah teksi dalam perjalanan antara Jalan P.Ramlee hingga ke Kondo Kenanga Point, Jalan San Peng, Dang Wangi di sini pada 3.30 pagi, 6 Mac 2011.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mencabul dan menyamun telefon bimbit Blackberry dan wang tunai RM500 milik wanita yang bekerja sebagai pembantu pengurus restoran dengan menggunakan sebilah parang pada masa dan lokasi sama.
Bagi pertuduhan mencabul, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau boleh dikenakan sebatan manakala bagi pertuduhan menyamun, dia dituduh mengikut Seksyen 392/397.
Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han yang membantu rakan sejawatannya Ooi Chean Ling, memohon hukuman berat dikenakan terhadap Saravanan dengan alasan tertuduh mengambil kesempatan terhadap penumpangnya.
"Perbuatan tertuduh merosakkan imej pemandu teksi di negara ini dan tertuduh juga menggunakan sebilah parang bagi memaksa mangsa menyerahkan barang miliknya," katanya.
#M. Saravanan #mencabul #menyamun #pemandu teksi
;