Pemandu teksi didakwa tumbuk tiga beradik dan rosakkan kereta
Bernama
April 6, 2015 21:50 MYT
April 6, 2015 21:50 MYT
Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan sengaja menumbuk dan menyebabkan kecederaan terhadap tiga beradik di kawasan stesen minyak di sini, akhir bulan lepas.
Azmi Mat Mokhtar, 54, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Sharifah Fara Difla Syed Fareid, 28, Sharifah Fara Afzan, 27, dan Sharifah Fara Ryyana, 24, di Stesen Minyak Petron, Persiaran Kayangan, Seksyen 7, pada 3.30 petang, 29 Mac lepas.
Azmi, yang juga seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan Azmi melapor diri di balai polis terdekat pada setiap 1 hari bulan.
Insiden pergaduhan pemandu teksi itu dengan sekumpulan wanita menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
Pemandu teksi itu turut menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret berasingan iaitu sengaja mengakibatkan kerosakan kereta mangsa, Sharifah Fara Difla jenis Myvi di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Azmi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Ellyana Razali.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ellyana membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin. Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan pada 23 April ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Parimalaah dan Siti Rohaida Che Hamid sementara tertuduh diwakili peguam Ahmad Mukmin Azmi.